Love is in the air. Again....

"Love is in the air."

Begitulah istilah atau ayat yang digunakan bagi menunjukkan masuknya musim bunga yang akan melahirkan bibit-bibit percintaan antara dua insan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa CINTA itu adalah satu kalimah yang sering digunakan oleh remaja hari ini. Dan dengan kalimah ini jugalah ramai daripada kalangan pemuda dan pemudi kita yang tewas. Cinta memang satu fitrah yang tidak dapat kita lawan. Tetapi kita mampu menghindarkannya atau disalurkan ke jalan yang betul.

Setiap hari, semakin ramai yang menyulam cinta antara satu sama lain. Antara uda dan dara. Janji setia yang dilafazkan yang katanya akan berkekalan sehingga ke pintu syurga. Bagaimana ingin bercinta sehingga ke pintu syurga jikalau permulaannya sudah membawa ke pintu neraka? Bagaimana suatu perkara yang jikalau kena caranya akan membawa restu Ilahi akhirnya menimbulkan kemurkaan kepada kita? Dimanakah silapnya?

Saya ingin mengajak rakan-rakan sekalian berfikir sejenak. Kerana perkara ini saya lihat telah sampai ke tahap yang kritikal yang harus kita fikrikan bersama bagaimana untuk mengawalnya. Bukan bermakna saya 'dengki' dengan pasangan-pasangan yang 'bahagia' berjalan dan ketawa bersama. Tetapi saya sedih dengan cara hidup kita yang tidak menunjukkan langsung Islam itu sendiri. Kita mengaku Islam tetapi kita masih lagi meninggalkan sembahyang. Kita mengaku Islam, tetapi kita masih lagi bergurau senda antara bukan muhrim. Kita mengaku Islam, tetapi kita masih lagi menjalinkan hubungan yang mengundang padah dalam hidup kita.

Apakah benda yang menarik untuk dibualkan bersama setiap hari melalui SMS, YM mahupun telefon? Percaya atau tidak jikalau sekarang kita asyik berbicara bersama, seandainya kamu bersama nesecaya tiada apa lagi yang hendak dikongsi bersama. Kerana semuanya telah diketahui. Jikalau semua jenaka telah digunakan sekarang, apa lagi yang tinggal untuk dijenakakan setelah diijab-kabulkan? Apa lagi yang tinggal untuk dikongsi bersama?

Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak melarang sesuatu perkara itu melainkan ada perkara yang tidak indah padanya. Allah mengharamkan arak kerana keburukkan arak itu melebihi kebaikkan. Allah mengharamkan judi kerana ia menjadi pemusnah institusi kekeluargaan. Allah mengharamkan zina kerana ia akan menyebabkan pelbagai penyakit kepada individu dan kepada masyarakat. Dan sesungguhnya kita sebagai ummat Islam tidak harus mempersoalkan kenapa sesuatu benda diharamkan. Takut-takut kita akan mempersekutukan Allah.

"Jangan hampiri zina"


Itulah yang telah diterangkan dalam kita suci kita Al-Quran. Sebagai ummat Islam kita wajib mematuhinya. Tiada lagi kompromi dalam hal ini. Jikalau perkara ini tidak kita tangani hari ini, apakah akan terjadi kepada generasi muda kita pada masa akan datang? Apakah mereka akan kekal dalam nikmat Iman dan Islam. Atau lalai dengan dunia yang fana ini?

Islam tidak akan menghalang sesuatu perkara itu melainkan diberikan alternatif kepadanya. Jawapan kepada perkara tersebut adalah 'perkahwinan'. Institusi perkahwinan inilah yang akan menyalurkan CINTA kita ke jalan yang benar. Dengan ianya jugalah Islam akan berkembang dengan lebih pesat. Islam akan menjadi lebih gah dengannya. Oleh itu, kepada rakan-rakan yang rasanya telah mampu untuk berkahwin segerakanlah. Jangan masukkan diri anda ke dalam neraka. Bimbinglah teman anda ke arah keredhaan-Nya. Dan kepada mereka yang masih tidak lagi mampu, hindarilah dirimu daripada semua ini. Seandainya telah bersedia, barulah dimulakan langkahnya. Ingatlah sesungguhnya jikalau kita bersusah-susah demi Allah, nesecaya kita akan dibalas dengan kebaikkan. Jikalau tidak di dunia insyaAllah di akhirat kelak. Dan kepada mereka yang masih degil setelah diberi peringatan, ketahuilah bahawa Allah itu maha adil. Setiap perbuatan akan dibalas. Dan sesungguhnya azab neraka itu amat pedih. Bertaubatlah sebelum terlambat.

Mari bercinta kerana Allah.

Media Massa dan Kita


Dalam kita menghadapi dunia yang semakin mencabar dari sehari ke sehari ini, rasanya kita tidak boleh lari dari melihat paparan di dada-dada akhbar berkaitan apa yang berlaku di sekeliling kita. Dari isu pengeboman, isu pembunuhan, isu agama sehingga ke isu hiburan. Kehidupan seharian kita banyak dipengaruhi oleh media massa. Dari sekecil-kecil perkara. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memilih media untuk dijadikan sumber kita dalam menghadam segala berita.

Persoalannya, ada media massa hari ini masih lagi menyampaikan maklumat dengan ikhlas dan tepat? Ataukah mereka terkongkong oleh golongan tertentu? Pada pendapat peribadi media hari ini terlalu dikongkong oleh satu pihak yang mungkin benar dan mungkin tidak. Hasilnya banyaklah berlaku salah tanggapan dan fitnah. Apa yang sudah terjadi dengan amanah yang telah diberikan? Saya tidak ingin menuding jari ke mana-mana pihak. Saya faham media massa di negara kita banyak dikawal oleh orang-orang politik. Tidak kira kerajaan ataupun pembangkang.

Dalam keadaan dunia yang memerlukan kita sentiasa up-to-date ini, kita jadi semakin bingung untuk memilih apakah sumber terbaik kita. Kerana rata-rata wartawan hanya memaparkan kisah yang berat sebelah. Hanya menunjukkan kesalahan pihak yang bertentangan. Apa salahnya jikalau kita melaporkan apa yang benar-benar berlaku walaupun pahit? Adakah kita akan rugi? Pernah dengar pepatah inggeris "honesty is the best policy"?

Janganlah disalahkan kepada bloggers menyebarkan fitnah jikalau pihak yang mempunyai kemudahan penyebaran maklumat juga menyebarkan fitnah. Hakikatnya rakyat kebanyakkan akan melihat kepada apa yang dilakukan oleh orang atasan dan dijadikan panduan. Memang sepatutnya tidak berlaku. Tapi itulah hakikatnya kita pada hari ini.

Sebagaimana kita memahami isu Palestin juga, terdapat banyak berita yang dipaparkan hanya menunjukkan kesalahan pihak HAMAS sahaja. Bagaimana pula dengan kesalahan ZIONIS yang melampau itu? Adakah mereka bebas begitu sahaja. Dengan mudah meminta maaf kemudian dilupakan. Lupakah dunia bahawa ZIONIS adalah satu golongan yang tidak diterima di seluruh dunia pada satu masa dahulu. Mereka dianggap sebagai outcast. Tetapi mereka ini dikurniakan oleh Allah kelebihan akal fikiran yang tajam. Mereka bijak menggunakan keadaan. Keadaan ummat Islam yang terlalu mengejar kemewahan dunia dan segala isinya. Sehingga melupakan Quran dan As-Sunnah.

Apabila dua panduan utama ummat Islam ini ditinggalkan, hasilnya apa yang kita dapat lihat pada hari ini. Kita tidak lagi menegakkan kebenaran kerana takutkan hilang nikmat dunia. Takut untuk berkata benar kerana bagi mereka kepahitannya tidak dapat di terima. Ini semua satu pembohongan. BOHONG! Mereka lebih rela bersama pihak lawan daripada bersama ummat Islam. Mereka inilah sebenarnya musuh yang harus kita perangi. Kerana dengan ada orang seperti mereka inilah akan menyebabkan ummat Islam tidak akan berjaya. Mereka harus digantikan dengan mereka yang beramal dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Bukan mereka yang tidak mempunyai autoriti untuk mentafsir dan pandai-pandai mentafsir.

Oleh itu, kita sebagai generasi pemimpin masa hadapan haruslah bersama-sama untuk meningkatkan kefahaman kita terhadap agama disamping ilmu duniawi yang lain. Kerana dalam satu hadis Rasulullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya,

"Barang siapa yang ingin dimuliakan Allah, akan diberikan kefaqihan dalam agama".


Agama itulah yang akan menjadi panduan kita. Agama Islam yang dikurniakan Al-Quran dan As-Sunnah. Ayuh kita tinggalkan perbahasan untuk mencari kelainan dan saling memburukkan antara satu sama lain kepada untuk mencari titik persamaan di atas matlamat yang sama; mengembalikan kegemilangan Islam. Semoga kita berjaya di SANA.

Salam Perjuangan.

Untukmu Palestin : Lupakah Kita?

Assalamualaikum wbt dan Salam Perjuangan Pembebasan.

Percaya atau tidak, keparahan luka di bumi Palestin pada hari ini adalah cerminan kepada betapa hodohnya perangai dan pemikiran kita umat Islam kini. Adalah sesuatu yang amat memalukan, apabila 1.3 billion umat Islam tidak mampu mengusir hanya beberapa juta penduduk haram yahudi di tanah Palestin. Ia sungguh memalukan.

Telah menjadi suatu lumrah, apabila sesuatu kelompok itu ditekan, pada peringkat permulaan mereka akan bangkit menentang dengan segala kekuatan dan semangat berkobar-kobar. Namun lama-kelamaan, semangat itu sedikit demi sedikit terhakis, kemudiannya menjadi satu kelompok suara minoriti dan kemudiannya semakin luput ditelan zaman. Kini, suatu penjajahan yang ditentang habis-habisan satu ketika dahulu sudah tidak lagi menjadi sesuatu yang memalukan, dan akhirnya ia dianggap sesuatu yang harus diterima sebagai suatu hakikat yang tidak mungkin diubah lagi… Inilah sikap umat Islam kini, khususnya terhadap isu Palestin.

Ramai di kalangan umat Islam sudah tidak yakin bahawa umat Islam mampu merampas kembali Palestin. Ramai yang terlalu kagum dengan kuasa besar Amerika dan sekutunya negara haram Israel lalu menganggap bahawa mereka adalah kuasa kebal yang tidak mungkin dapat dikalahkan, dan Palestin tidak mungkin dapat dikembalikan.

Kalau itulah yang anda fikirkan, anda silap!

Lupakah kita, bagaimana susah dan payahnya perjuangan dakwah Rasulullah saw, yang tidak kenal erti rehat dan senang-lenang yang kemudiannya diteruskan oleh para sahabat Radhiallahu’anhum, sehingga akhirnya terbukanya baitul maqdis di tangah khalifah agung Umar al-khattab ra dan sekaligus membebaskannya dari cengkaman kuasa Rom, yang merupakan kuasa besar dunia ketika itu?

Lupakah kita, bagaimana baitulmaqdis pernah dirampas oleh tentera salib, namun dengan semangat dan kekentalan iman dan keteguhan syakhsiah, umat Islam di bawah pimpinan salahuddin al-ayyubi telah berjaya merampas semula Baitulmaqdis, dan tentera salib hanya sempat memerintah selama 90 tahun?

Dan lupakah kita, pada semangat perjuangan rakyat peribumi Palestin:

Revolusi al-Quds pada 1920,
Revolusi al-Buraq 1929,
Perjuangan Kumpulan Jihadiyyah yang dipimpin oleh al-Qassam,
Revolusi Agung dalam akhir 1930-an,
Operasi-operasi Komando Palestin sekitar akhir 1960-an,
Intifadah Pertama sekitar 80 dan 90-an,
Intifadah Kedua pada September 2000,

serta siri perjuangan yang tidak pernah henti oleh penduduk Palestin, yang menjadi saksi kecekalan mereka mempertahankan tanah umat Islam dari perampas Zionis, walaupun dengan kekuatan persenjataan yang sangat sedikit?

Semua ini menjadi hujah ke atas kita bahawa jikalau musuh yang kita hadapi itu adalah kuasa besar dunia sekalipun, kita sememangnya mampu!! Kita mampu dapatkan semula hak kita yang telah dirampas, setiap inci persegi bumi Palestin. Rentetan sejarah ini harus sentiasa diulang dan diingati agar semangat kita untuk Palestin tidak akan pernah luntur.

Justeru, program seperti Roadshow seperti ini adalah amat penting dalam mengembalikan ingatan kita kepada sejarah kita yang silam - bukan untuk dikenang-kenang, bukan juga untuk dibangga-banggakan, sebaliknya untuk menjadi bukti dan pembakar semangat, bahawa umat Islam mampu dan akan membebaskan Palestin dari penjajah dalam masa yang terdekat ini. Syaratnya usaha dan perjuangan. Kita pantang menyerah sebelum berjuang, pantang maut sebelum ajal.

Semoga dengan penganjuran Roadshow Al-Aqsa ini dapat mengingatkan kita pada sejarah perjuangan gemilang umat Islam terhadap Palestin, selanjutnya menggerakkan jiwa dan jasad kita untuk terus bertindak mempertahankan dan mendapatkan semula bumi Palestin yang telah dirampas oleh musuh-musuh Allah.

Marilah kita bertindak segera dan berjuang dengan segala kemampuan yang ada untuk Palestin, kerana selagi Palestin masih terjajah, usaha membebaskannya terpikul di bahu kita, di bahu semua Muslim. Masing-masing boleh memainkan peranan yang berbeza dan pelbagai mengikut kapasiti dan kreativiti masing-masing. Tepuk dada, tanyalah iman akan peranan anda untuk Palestin.
.
Akhir kata, marilah kita kembali kepada Islam yang sebenar lalu yakinlah, bahawa Islam pasti menang.


HIDUP PALESTIN.