Rasul-rasul Allah : Kesamarataan atau Pembezaan?

Di dalam al-Quran, Allah swt telah berfirman yang mafhumnya:

"Rasul telah beriman kepada Al Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeza-bezakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat." (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali."" (al-Baqarah : 285)

Ayat di atas menunjukkan bahawa semua Rasul yang Allah utuskan itu diimani secara sama oleh orang mukmin dan tidak dibeza-bezakan antara mereka. Namun, dalam ayat yang lain, Allah berfirman:

"Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebagian (dari) mereka atas sebagian yang lain. Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata (langsung dengan dia) dan sebagiannya Allah meninggikannya beberapa darjat." (Al-Baqarah : 253)

Ayat ini pula menjelaskan bahawa Allah Taala melebihkan sebahagian rasul dari sebahagian yang lain. Ini kelihatan seolah bercanggah dengan ayat surah al-Baqarah tadi yang menegaskan bahawa tidak harus dibezakan antara Rasul-rasul.

Apakah kedua-kedua ayat ini bercanggah antara satu sama lain?

Jawapan:
Salah faham ini muncul kerana adanya tabiat mengambil maksud ayat dengan kurang cermat, tanpa memerhatikan maksudnya dengan teliti. Mari kita perhatikan ayat-ayat di bawah ini, yang semuanya menegaskan bahawa rasul-rasul itu tidak dibeza-bezakan:

"Katakanlah (hai orang-orang mukmin): "Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Isma'il, Ishaq, Ya'qub dan anak cucunya, dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta apa yang diberikan kepada nabi-nabi dari Tuhannya. Kami tidak membeza-bezakan seorangpun diantara mereka dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya". (al-Baqarah: 136)

"Rasul telah beriman kepada Al Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeza-bezakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat." (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali."(al-Baqarah:285)

Katakanlah: "Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya'qub, dan anak-anaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, Isa dan para nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeda-bedakan seorangpun di antara mereka dan hanya kepada-Nyalah kami menyerahkan diri." (Ali Imran: 84)

Perhatikan bahawa kesemua ayat di atas menegaskan bahawa rasul-rasul tidak harus dibeza-bezakan dari sudut keimanan kepada mereka. yakni, tidak hanya beriman dengan sebahagian rasul as., dan tidak beriman kepada sebahagian rasul yang lain. semuanya wajib diimani.

Al-Imam Ibn Katheer (700-774H) menjelaskan dalam tafsirnya:
"Orang-orang beriman membenarkan semua Rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan dari langit kepada Rasul-rasul dan Nabi-nabi. Mereka tidak membezakan antara rasul-rasul itu, yakni mereka tidaklah mengambil sikap beriman dengan sebahagian dan mengingkari sebahagian yang lain. Bahkan kesemua Rasul ini bagi mereka adalah orang-orang yang benar, soleh, diberi hidayah dan menjadi penunjuk jalan."

Kita lihat pula ayat-ayat yang menyatakan bahawa Allah melebihkan (yakni membezakan) sebahagian Rasul as. daripada sebahagian yang lain:

"Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebagian (dari) mereka atas sebagian yang lain. Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata (langsung dengan dia) dan sebahagiannya Allah meninggikannya beberapa derajat. Dan Kami berikan kepada Isa putera Maryam beberapa mukjizat serta Kami perkuat dia dengan Ruhul Qudus..." (al-Baqarah: 253)

" Dan Tuhan-mu lebih mengetahui siapa yang (ada) di langit dan di bumi. Dan sesungguhnya telah Kami lebihkan sebagian nabi-nabi itu atas sebagian (yang lain), dan Kami berikan Zabur kepada Daud." (al-Isra' : 255)

Jika diperhatikan, ayat-ayat di atas jelas menyatakan bahawa, Allah Ta'ala melebihkan sebahagian Rasul as. daripada yang lain dengan pemberian-pemberian Allah kepada mereka, yang dianugerahkan secara spesifik kepada Nabi-nabi tertentu. Sebagai contoh yang disebutkan:

"Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata (langsung dengan dia)"
-kelebihan Allah buat nabi Musa as."

"Sebagiannya Allah meninggikannya beberapa derajat"
-Para mufassireen berselisih pendapat tentang siapakah yg dimaksudkn dlm ayat ini:

i- al-Imam Ibn Katheer rh.:
Ini seperti yg telah sabit dalam hadith Isra' dan Mi'raj Rasulullah saw di mana para Anbiya' as. punyai kedudukan (level) yang berbeza-beza di sisi Allah.

ii- al-Imam as-Suyuti rh.:
Menaqalkan daripada Ibn Abi Hatim daripada 'Amir asy-Sya'bi bahawa yg dimaksudkan oleh ayat itu adalah kelebihan Allah buat Nabi Muhammad saw.

iii- Dinaqalkan juga dalam ad-durr al-manthur oleh al-Imam as-Suyuti rh. dari Ibn Munzir daripada Ibn Abbas dan turut disahihkan oleh al-hakim, Ibn Abbas berkata: "Adakah kamu semua hairan (dengan ayat ini)? (Sesungguhnya) teman Allah itu (adalah khusus) bagi Ibrahim as, berkata-kata dengan Allah itu (adalah khusus) bagi Musa as. dan melihat Allah itu (adalah khas) bagi Muhammad saw."

"Dan Kami berikan kepada Isa putera Maryam beberapa mukjizat serta Kami perkuat dia dengan Ruhul Qudus" -kelebihan Allah buat nabi Isa as.

"Dan Kami berikan Zabur kepada Daud." -kelebihan Allah buat nabi Daud as.

Jelaslah di sini bahawa kelebihan Allah buat mereka itu hanyalah dari sudut pemberian Allah yang spesifik kepada rasul-rasulNya yang berbeza antara satu sama lain, tanpa ada pembezaan dari sudut keimanan kepada mereka.

Kesimpulannya, dari sudut keimanan, kita wajib beriman kepada kesemua Rasul as. yang diutus oleh Allah swt tanpa memilih untuk beriman dengan sebahagian dan mengingkari sebahagian yang lain. yakni tidak membeza-bezakan mereka. Adapun kelebihan-kelebihan sebahagian rasul-rasul hanyalah di sudut pemberian Allah kepada mereka. Dan ini telah dijelaskan oleh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili:

"Mereka semua (Orang-orang beriman) berkata: kami tidak membeza-bezakan antara rasul-rasul dari sudut prinsip kerasulan dan tasyri', dan dakwah mereka semua adalah satu iaitu mengakui kewujudan dan keesaan Allah dan menyeru kepada akhlak yang mulia. Adapun pengutamaan antara rasul-rasul dalam ayat yang sebelum ini (al-Baqarah: 253) adalah dari elemen yang lain, bukan dari sudut kerasulan dan tasyri'."
(Tafseer al-Muneer, Jilid 2, Halaman 145)

Tidak ada apa-apa yang bercanggah. Wallahua'lam.


Rujukan:

i- al-Quranul Kareem
ii- Tafseer Quranil Azeem, Imam Ibn Katheer
iii- Ad-Durr Al-Manthur, Imam as-Suyuti
iv- Tafseer al-Muneer, Prof Dr. Wahbah Zuhaili
v- Al-Quran Digital Versi 2.1

0 comments: