Pelajar Cemerlang SPM 2008 vs Kita




Hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.

Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti.

Bahkan tidak seorang juga yang terfikir bahawa permata yang berlindung di rumah ini telah mencipta sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin. Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.

Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006, bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.

Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu yang menjadi tempatnya untuk berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.


Sumber: Utusan Malaysia


Begitulah adanya sahabat kita yang cemerlang di dalam SPM 2008. Serba-serbi kekurangan. Tetapi masih mampu untuk mengecapi kecermelangan yang insyAllah sedikit sebanyak akan dapat mengubah kehidupan keluarganya. Nyata dia bukanlah datang daripada keluarga yang senang seperti kebanyakkan daripada kita. Dengan semangat juang yang tinggi beliau telah membuktikan bahawa dia boleh. Boleh mengatasi mereka yang datang daripada keluarga yang mampu dan juga mempunyai semua kemudahan yang ada.

Jikalau rakan-rakan semua berfikir, dia tanpa kemudahan yang sempurna mampu untuk berjaya mengapa tidak kita? Kita mempunyai pelbagai kemudahan. Biasiswa yang banyak, rumah yang selesa, doktor-doktor yang terkenal, kemudahan yang baik dan pelbagai lagi kemudahan. Rasanya kita sepatutnya lebih cemerlang daripada dia. Tetapi mengapa kita masih berada di takuk lama? Belajar sekadar untuk lulus peperiksaan. Datang ke kelas sekadar untuk memenuhi kehadiran. Pergi ke masjid apabila hampir dengan peperiksaan (wah terasanya diri nie...). Dan semua benda-benda yang tak pernah kita terfikir untuk lakukan tetapi bila hampir dengan peperiksaan kita akan lakukan. Itu namanya tidak bersyukur dengan nikmat-Nya. Saya pernah terbaca satu artikel yang mengatakan bahawa seorang muslim itu sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan dan redha dan tabah menghadapi ujian daripada-Nya. Persoalannya dimanakah kita?

Rasanya masih belum terlewat untuk kita memperbaiki diri kita ini. Masih belum terlewat untuk kembali ke jalan yang benar. Sesungguhnya AllAH itu maha pengasih lagi maha penyayang. Oleh itu, saya mengajak diri saya dan rakan-rakan sekalian untuk memperbaiki diri kita. Agar kita sentiasa hampir kepada-Nya. Semoga taubat kita diterima-Nya dan kita menjadi pendakwah kepada kecermelangan ummat Islam. Ingatlah, jikalau kita menjaga hak Allah, Allah akan menjaga kita. Dengan syarat disertakan dengan hati yang ikhlas kerana-Nya.


0 comments: