KARISMA: Saya Datang Kerana Ukhwah

Tinggal lebih kurang 3 minggu sahaja lagi untuk acara yang dinantikan oleh semua mahasiswa yang berada di Jordan. Temasya tahunan yang menyatukan semua mahasiswa Malaysia yang berada di Jordan; KARISMA.

Bertemakan "Saya Datang Kerana Ukhwah" pada tahun ini, KARISMA akan dianjurkan oleh Mu'tah. Pada kali ini mahasiswa akan berkampung selama hampir 3 hari di Mu'tah untuk mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Menang atau kalah bukanlah tujuan utama kita datang ke Mu'tah. Tetapi kemanisan kita berjuang bersama-sama itulah yang cuba diterapkan. Jikalau datang sekadar untuk mendapatkan pingat atau kemasyuran saya rasa lebih baik pergi sahaja ke pertandingan lain.

Seharusnya ukhwah itulah yang harus kita utamakan. Semangat kesukanan yang sebenar adalah kerana ukhwah. Jikalau berlaku sebarang kesulitan atau sebagainya, tidak perlulah untuk kita memperbesar. Itu adalah adat dalam kita bermuamalat. Apa salahnya sekali-sekala kita mengalah. Saya selalu dengar bahawa apa yang berlaku pada kita adalah mungkin kerana kita pernah melakukan kepada orang lain. Jikalau kita tidak pernah lakukan pun, cubalah untuk kita menjadikan ianya sebagai salah satu pengalaman untuk kita gunakan di masa hadapan.

Sentiasa berlapang dada dalam menerima apa jua yang berlaku. Kerana setiap apa yang berlaku itu ada sebabnya. Tidak Allah menjadikan manusia ini berbilang kaum melainkan untuk kita saling kenal-mengenali. Tidak semua manusia itu sama. Ada baik dan ada yang kurang baik. Tetapi hikmah kita saling kenal-mengenali itulah yang akan menjadikan hidup kita ini lebih kaya. Kaya dengan pengetahuan, kaya dengan ilmu, kaya dengan budi pekerti dan kaya dengan kebaikkan. Dan apabila kita sudah 'kaya' kita haruslah berkongsi dengan rakan-rakan yang lain dalam bentuk perhubungan yang baik.

Kita semua sudah matang untuk membezakan antara baik dan buruk. Pilih yang baik tinggalkan yang tidak baik. Yang baik itu dijadikan sebahagian dalam hidup kita dan yang tidak baik itu untuk dijadikan sebagai pengajaran agar tidak diulangi.

Di sini saya ingin juga menegur sikap saya dan segelintir mahasiswa yang suka meluahkan perasaan melalui jalan yang tidak baik. Kenapa perlu untuk kita berkata-kata dibelakang. Jikalau terdapat perasaan tidak puas hati, suarakan. Sebaiknya kenalkan diri kita. Dan kepada yang menerima, janganlah berpandangan negatif terhadap mereka. Jadikan semua itu satu urusan yang mendatangkan faedah kepada Agama, Bangsa dan Negara kita.

Oleh itu, saya menyeru kepada rakan-rakan sekalian untuk renung kembali apakah tujuan utama kita ke sana. Masih belum terlambat untuk kita sama-sama memperbaiki niat kita. Menang dan kalah itu adat pertandingan. Tetapi jangan kita menggadaikan ukhwah kerana kemenangan. Tiada makna jikalau setakat menang di medan pertandingan tetapi di medan dakwah kita tersekat. Ingatlah bahawa Allah itu maha adil.

Peringatan untuk diri dan rakan-rakan semua. Semoga kita sentiasa dalam rahmat-Nya. Saling ingat-mengingati itu adalah suruhan agama. Maka realisasikan. Jangan biarkan nafsu dan syaitan menguasai kita. Semoga apa yang kita akan lakukan, akan mendapat keredhaan dan balasan yang baik di sisi-Nya.

Marilah kita pergi kerana Ukhwah yang disandarkan kepada Allah.

Wassalam.

KHAIRUL ANWAR IBRAHIM MALEK
Setiausaha Agung,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan,
Sesi 2008/2009.


0 comments: